Istanbul: Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi menyambung semula sebahagian operasi penerbangan pada Ahad selepas digantung selama kira-kira dua minggu susulan serangan kumpulan Houthi dari Yaman.

Menurut Anadolu Ajansi yang memetik Al Arabiya, penyiar Arab Saudi itu turut menyiarkan rakaman suasana di dalam dua terminal lapangan terbang berkenaan yang telah dibuka semula.

Stesen televisyen kerajaan AlEkhbariya melaporkan Terminal 1 kembali beroperasi bagi penerbangan domestik, manakala Terminal 2 dibuka semula untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan syarikat penerbangan Arab Saudi.

Menurut stesen itu, penyambungan semula operasi berkenaan dibuat selepas penyelarasan rapi antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dengan agensi keselamatan dan teknikal bagi memastikan kesiapsiagaan lapangan terbang serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan.