PUTRAJAYA: McDonald's Malaysia menyerahkan zakat korporat berjumlah RM300,000 kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi Wilayah Persekutuan.

Zakat berkenaan diserahkan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dengan disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

"McDonald's Malaysia meneruskan komitmennya dalam menunaikan kewajipan zakat dengan pembayaran sebanyak RM2 juta bagi tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan zakat yang ditunaikan sejak 2017 sebanyak RM16 juta.

"Komitmen berterusan ini mencerminkan tanggungjawab syarikat yang 100 peratus dimiliki oleh orang Islam untuk melaksanakan kewajipan agama serta menyumbang kepada kesejahteraan golongan asnaf," katanya pada Majlis Penyerahan Zakat di McDonald's Pandu-Lalu Putrajaya di sini, hari ini.