JOHOR BAHRU: Perkembangan pesat industri pusat data di Johor mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk susulan pembinaan menara penghantaran elektrik dan kemudahan industri berhampiran kawasan perumahan.
Akhbar Singapura, The Straits Times (ST), melaporkan penduduk turut membangkitkan isu bunyi, peningkatan suhu, perubahan persekitaran dan kemungkinan nilai jualan semula hartanah mereka terjejas.
Di kawasan perumahan Eco Botanic, Iskandar Puteri, seorang pengurus kewangan, Lee Shi Qing, dilaporkan mahu menjual rumah teresnya selepas kerja pembinaan pusat data bermula dan beberapa menara penghantaran elektrik didirikan berhampiran kawasan itu.
Wanita berusia 38 tahun berkenaan membeli kediaman seluas 2,293 kaki persegi pada harga kira-kira RM1 juta sebagai rumah pertamanya selepas berkahwin.









