PETALING JAYA: Status terkini penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva mencetuskan kebimbangan kem kebangsaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bulan depan.

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berdepan kecederaan ketika Harimau Selatan menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Dalam aksi berkenaan, bintang kelahiran Brazil itu masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua dan berjaya menjaringkan gol kedua buat JDT sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengesahkan penyerang itu mengalami kecederaan yang memaksa dia dikeluarkan semula meskipun menggandakan kedudukan buat Harimau Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-62.