JOHOR BAHRU: Pesara guru berusia 67 tahun rugi RM521,787 selepas terpedaya tawaran pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata mangsa yang tertarik dengan iklan pelaburan menggunakan nama SQUIA Capital di Facebook pada 16 September lalu.

"Percaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 16 transaksi pindahan wang secara dalam talian membabitkan enam akaun bank berbeza antara 17 September hingga 29 Oktober lalu.

"Keseluruhan wang yang dipindahkan berjumlah RM521,787 dan ia adalah wang simpanan peribadi mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.