KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) dan firma ekuiti persendirian, CVC Capital Partners, dilaporkan sedang mencari pembeli bagi perniagaan restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut yang dikendalikan QSR Brands (M) Holdings Bhd.
The Edge Malaysia yang memetik sumber melaporkan proses mencari pembeli itu dikendalikan bank pelaburan antarabangsa, Citi, dengan pelabur asing khususnya dari Asia Barat dikenal pasti sebagai antara calon berpotensi.
Beberapa pihak dilaporkan sudah menunjukkan minat, namun rundingan masih pada peringkat awal dan belum pasti menghasilkan urus niaga.
Harga jualan dipercayai menjadi antara isu utama selepas seorang calon pembeli dilaporkan menarik diri kerana menganggap nilai diminta terlalu tinggi.






