Kuala Lumpur: Kerajaan sedang memperkemas mekanisme pendaftaran pelarian menerusi penggunaan dokumen pendaftaran pelarian (DPP) bagi membolehkan proses itu dilaksanakan sendiri tanpa bergantung kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata langkah itu selaras dengan pendirian kerajaan supaya UNHCR menghentikan pendaftaran pelarian, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian terhadap proses sedia ada bagi mengelakkan sebarang masalah dalam pengurusan pelarian di negara ini.
Katanya, kerajaan mengakui proses pemantauan terhadap pendaftaran yang masih dilakukan UNHCR mungkin belum diperketatkan sepenuhnya kerana penggunaan DPP masih dalam peringkat penyelarasan.









