Yan: "Sepatutnya mak dan ayah tengok saya berdiri di atas pentas menerima ijazah, bukannya saya melihat mereka masuk dalam liang lahad."

Ini luahan pilu Husna Syakirah Abd Halim, 23, yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu dan bapanya dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, semalam.

Ketika itu, ibu bapa serta abangnya dalam perjalanan untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kelantan.

Lebih menyayat hati, Allahyarham bapanya, Abd Halim Bakar, 64, dikatakan baru membeli kamera digital dengan hasrat untuk merakam detik bersejarah anak bongsunya itu menerima ijazah di atas pentas, namun kamera itu turut rosak dan patah dalam nahas berkenaan.