YAN: "Sepatutnya mak dan ayah tengok saya berdiri di atas pentas menerima ijazah, bukannya saya melihat mereka masuk dalam liang lahad."

Itu luahan pilu Husna Syakirah Abd Halim, 23, yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu dan bapanya dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, semalam.

Ketika itu, ibu bapa serta abangnya dalam perjalanan untuk menghadiri Majlis Konvokesyennya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kelantan yang berlangsung hari ini.

Lebih menyayat hati, Allahyarham bapanya, Abd Halim Bakar, 64, dikatakan baru membeli kamera digital dengan hasrat merakam detik bersejarah anak bongsunya menerima ijazah di atas pentas, namun kamera itu turut rosak dan patah dalam nahas berkenaan.