KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh aktiviti belian bagi saham wajaran tinggi perbankan terpilih walaupun pasaran secara meluas suram susulan jualan saham teknologi.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati dengan pelabur masih bertahan daripada mengambil sebarang kedudukan baharu ketika faktor luaran masih tidak menentu.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.34 mata atau 0.14 peratus kepada 1,621.85 daripada paras penutup 1,619.51 semalam.

Indeks berkenaan dibuka menokok 1.25 mata kepada 1,620.76 dan bergerak turun naik antara paras terendah harian 1,616.19 dan tinggi 1,625.88 sepanjang sesi dagangan hari ini.