Kuala Lumpur: Bahang persaingan Zon Timur Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 semakin terasa apabila lebih 40 pasukan sudah mengesahkan penyertaan, sedangkan tarikh tutup pendaftaran hanya berbaki kurang 10 hari.
Angka itu membuktikan sambutan cukup hangat terhadap kejohanan bawah 16 tahun berkenaan, sekali gus membuka persaingan sengit buat pasukan yang mahu membuktikan kehebatan dan memburu gelaran juara zon.
Namun, peluang masih terbuka kepada pasukan yang belum mendaftar untuk menyertai cabaran di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu pada 20 dan 21 November ini.
Penolong Setiausaha Agung I PSM merangkap Pengarah Teknikal Kejohanan, Yusoff Ali berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pasukan kerana kejohanan itu bukan sekadar medan merebut kejuaraan, malah platform terbaik untuk pemain muda menguji kemampuan dan menyerlahkan bakat masing-masing.









