Yan: Husna Syakirah Abd Halim yang kehilangan ibu bapanya selepas terbabit kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak, semalam tidak menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke-16 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhamad Alias berkata, pihak universiti masih menunggu maklum balas daripadanya berhubung keperluan serta bantuan lanjut yang diperlukan.
"Kita tidak mahu membebankan penuntut berkenaan dengan pelbagai urusan dan akan cuba mempermudahkan segala perkara yang boleh dibantu," katanya.
Menurutnya, UMK menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan kebajikan kepada keluarga penuntut yang terbabit dalam tragedi kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan ibu bapanya.






