KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini kerana kurang sihat.
Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, berkata negarawan berusia 101 tahun itu sudah menyiapkan teks ucapan serta berhasrat menyampaikannya sendiri, namun tidak berkesempatan ekoran kesihatannya yang kurang memuaskan sejak akhir-akhir ini.
"Beliau sudah bekerja keras menyiapkan ucapan ini dan sememangnya mahu menyampaikannya sendiri. Namun, malangnya, keadaan kesihatannya tidak begitu baik kebelakangan ini.
"Saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana ayahanda telah meminta saya untuk membacakan ucaptama ini bagi pihak beliau," katanya ketika menyampaikan ucapan berkenaan di majlis itu hari ini.








