KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan yang kurang memuaskan menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Dr. Mahathir sudah menyiapkan teks ucapan dan berhasrat menyampaikannya sendiri pada forum berkenaan, namun tidak dapat berbuat demikian berikutan keadaan kesihatannya sejak kebelakangan ini.

“Beliau sudah bekerja keras menyiapkan ucapan ini dan sememangnya mahu menyampaikannya sendiri. Namun, malangnya, keadaan kesihatannya tidak begitu baik kebelakangan ini.

“Saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana ayahanda telah meminta saya untuk membacakan ucaptama ini bagi pihak beliau,” katanya ketika membacakan teks ucapan berkenaan hari ini.