PETALING JAYA: Niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) meneruskan kenaikan pada Jumaat apabila meningkat RM26 untuk ditutup pada RM4,818 setan, sekali gus mengekalkan momentum pemulihan pasaran, menurut RHB Research.

Firma penyelidikan itu berkata, dagangan dibuka pada RM4,788 setan sebelum susut ke paras terendah intrahari RM4,777, kemudian meningkat ke paras tertinggi sesi RM4,834 dan ditutup berhampiran paras berkenaan.

“Pola lilin menaik serta kedudukan harga yang kekal di atas purata pergerakan mudah (SMA) 50 hari menunjukkan pembeli masih menguasai pasaran ketika FCPO menguji paras rintangan RM4,850 setan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada masa sama, harga komoditi itu kekal jauh di atas SMA 200 hari yang terus meningkat, sekali gus mengukuhkan prospek pemulihan harga dalam jangka lebih panjang.