IPOH: Teluk Intan memanfaatkan kekayaan warisan makanannya sebagai tarikan pelancongan menerusi pelancaran Pasport Makanan Teluk Intan, satu inisiatif yang menggalakkan pengunjung meneroka keunikan sajian di bandar Hilir Perak itu sambil menyokong perniagaan tempatan dan merancakkan ekonomi pelancongan setempat.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, berkata pasport 20 halaman itu membolehkan pengunjung mengumpul cap daripada premis makanan yang mengambil bahagian sambil meneroka kepelbagaian cita rasa Teluk Intan, daripada sajian tradisional hingga kafe kontemporari dan hidangan tempatan.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pengunjung yang melengkapkan kesemua 20 halaman dengan mengumpul cap diperlukan layak menebus barangan eksklusif di Teck Kee Foodstuff Enterprise sebagai ganjaran selepas menjelajah lokasi makanan terlibat.