PETALING JAYA: Sinohydro Corporation Ltd dan unitnya di Malaysia, Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd, telah mencapai penyelesaian secara baik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhubung prosiding timbang tara terdahulu berkaitan dengan projek loji janakuasa Connaught Bridge di Klang, Selangor.
Penyelesaian itu dimuktamadkan menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 23 April 2026.
Menurut Sinohydro, penghakiman berkenaan menyelesaikan sepenuhnya dan secara muktamad semua perkara timbang tara yang masih tertunggak antara pihak terbabit.
“Penyelesaian itu dicapai berdasarkan terma yang dipersetujui bersama tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak, sekali gus menunjukkan komitmen bersama untuk menyelesaikan perbezaan komersial secara konstruktif,” katanya.








