Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram kembali memainkan peranan dalam pentadbiran bola sepak tempatan apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi penggal 2025-2029.

Pelantikan itu menyaksikan empat individu baharu mengisi barisan kepimpinan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M), termasuk tiga wakil daripada FAM iaitu Naib Presiden 1, Datuk Seri Rosmadi Ismail serta Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Kamarudin Hassan.

MFL menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan, keputusan pelantikan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-3 yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan.