KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pembangkang digesa memeterai satu perjanjian rentas parti membabitkan semua 218 Ahli Parlimen sedia ada bagi menyempurnakan pelaksanaan lapan reformasi yang masih tertangguh sebelum penggal Parlimen semasa berakhir.
Gesaan dikemukakan 47 organisasi masyarakat sivil (CSO) yang menyifatkan tanpa perjanjian, reformasi penting berisiko tergendala akibat ketidaktentuan politik dan terdedah kepada pengaruh pihak tertentu yang tidak mahu reformasi memperkasa pengundi.
Antara CSO berkenaan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Centre for Independent Journalism (CIJ), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (TINDAK), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) serta G25 Malaysia.









