KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menetapkan garis panduan jelas bagi mengawal tindakan syarikat insurans mengeluarkan doktor pakar daripada panel kemudahan tanpa tunai (cashless), bagi memastikan hak pesakit mendapatkan rawatan tidak terjejas.

Ahli Parlimen Bera yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan syarikat insurans mengehadkan kemudahan itu kepada doktor pakar boleh menjejaskan akses pesakit terhadap rawatan, termasuk menyebabkan pembedahan terpaksa dihentikan.

Beliau berkata, terdapat kes pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa menghentikan prosedur berkenaan kerana doktor yang merawat mereka tidak mempunyai kemudahan 'cashless', sehingga pihak hospital terpaksa memanggil doktor dari hospital lain.