Alor Gajah: Universiti tidak sepatutnya mengenakan tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang mempunyai pendapat dan pegangan politik yang berbeza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu diraikan selagi ia tidak menyentuh isu berkait agama, raja dan kaum (3R).

"Kalau hanya berbeza pendapat dan mereka menyuarakan pendapat anak muda, saya fikir pendapat berkenaan harus diraikan, bukan dengan mengambil tindakan perundangan kepada mereka, kecuali jika mereka terbabit dalam menyentuh perkara 3R.

"Yang ini memang undang-undang negara cukup jelas. Selain daripada itu, kalau berbeza pendapat dan pegangan politik, saya fikir tidak harus diambil sebarang tindakan disiplin oleh pihak universiti," katanya ketika ditemui selepas program Apa Khabar Mahasiswa? (Patriotisme Diperkasa bersama Azh@UiTM 2026) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Kampus Alor Gajah di sini, hari ini.