PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan peguam Mahajoth Singh memulakan semakan kehakiman bagi mencabar dua notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikeluarkan terhadapnya.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Seri Firuz Jaffril, Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mahajoth untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.

Ahmad Shahrir, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu, memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit substantif.

"Pada pandangan kami, permohonan ini mempunyai asas untuk dihujahkan dan bukan remeh," katanya sambil menambah hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam menentukan hubungan antara Seksyen 30 dan Seksyen 46 Akta SPRM serta skop pemakaian Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.