KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa projek atau Surat Setuju Terima (SST) Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak tidak dibatalkan seperti didakwa, sebaliknya hanya proses tender dan penganugerahan SST baharu yang ditangguhkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan semua projek dalam senarai yang diluluskan Kementerian Ekonomi kekal untuk dilaksanakan.
"Hakikatnya, pengurusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan mengambil langkah untuk menangguhkan tender dan penganugerahan SST baharu. Tiada SST dikeluarkan yang kemudiannya, projek dibatal.
"Hanya dalam usaha menangani terlebih komitmen dan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, penjadualan pelaksanaan projek seharusnya dirancang semula, dikawal dan diurus sebaiknya mengikut kemampuan peruntukan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027, di Dewan Rakyat, hari ini.









