KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur grid dan mempercepat pemodenan rangkaiannya bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik Malaysia, meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu serta menampung permintaan pada masa depan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shamsul Ahmad, berkata perancangan masa depan, pelaksanaan projek yang lebih pantas, serta kerjasama kukuh penting bagi membangunkan grid nasional yang lebih pintar, fleksibel, dan berdaya tahan.
"TNB membuat pelaburan lebih awal daripada permintaan, sambil mengimbangi keperluan untuk bekalan elektrik yang mampu dibayar, mampan, dan terjamin," katanya ketika berucap semasa sesi panel 'The Grid of Tomorrow' di Singapore International Energy Week (SIEW) 2026.









