PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta bagi memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan, termasuk pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu dan kerja-kerja awalan bagi cadangan pemanjangan jajaran ke Rantau Panjang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala lebih RM200 juta lagi disediakan untuk kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
"Kerja awalan itu merangkumi reka bentuk awal, pengukuran dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan pada fasa seterusnya," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.






