HULU LANGAT: Malaysia akan melancarkan program sukarelawan dan lagu tema rasmi Sukan SEA 2027 pada 5 Dis ini sebagai sebahagian daripada persiapan negara menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata persiapan penganjuran temasya berkenaan berjalan lancar mengikut jadual termasuk dari segi penyediaan kemudahan dengan pemantauan rapi oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).

"Alhamdulillah, persiapan Sukan SEA 2027 berada dalam keadaan baik dan teratur serta mengikut jadual. Pada 5 Dis ini, kita akan mengadakan majlis pelancaran program sukarelawan dan lagu tema rasmi Sukan SEA 2027," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TVET 2.0 KBS dan Himpunan Belia TVET MADANI 2026 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua di sini hari ini.