Kuala Lumpur: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tidak mahu walau seinci tanah di negeri itu dibiarkan tanpa dimajukan, sebaliknya perlu diusahakan secara optimum bagi meningkatkan hasil pertanian dan kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah, usaha membangunkan tanah terbiar di Pahang perlu diberi perhatian, terutama apabila sebahagian besar kawasan berkenaan berdepan isu pemilikan yang memerlukan kaedah penyelesaian bersesuaian.

"Saya tidak mahu seinci pun tanah di Pahang ini tidak dimajukan. Itu yang menjadi tekad saya, tiap seinci tanah di Pahang ini mesti dimajukan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini, hari ini.