KUALA LUMPUR: Pengarah filem Baga: Esok Untuk Siapa, Ariff Zulkarnain menyifatkan budaya segelintir penonton yang gemar menunggu tayangan filem di platform Over-The-Top atau OTT dikhuatiri boleh membunuh ekosistem pawagam tempatan secara perlahan-lahan.
Ariff berkata, tabiat itu bukan sahaja merugikan industri perfileman negara, malah menjejaskan tradisi menonton bersama-sama di layar perak yang menawarkan pengalaman jauh berbeza berbanding skrin di rumah.
"Bagi saya, kalau kita amalkan dan ajar masyarakat kita setiap kali buat filem, selepas tiga bulan masuk Netflix, orang sudah tidak akan pergi ke panggung wayang lagi.
"Sesuatu perlu dilakukan. Saya bersama penerbit-penerbit lain perlu berbincang, kita tidak boleh buat begini kerana kalau diteruskan, kita sendiri yang membunuh pasaran dan pawagam kita," katanya.








