Kuala Lumpur: Selepas mengutip 15.05 mata daripada aksi Piala ASEAN FIFA yang menyaksikan skuad Harimau Malaya memanjat' ke tangga ke-133 dunia dengan pungutan 1102.09 mata, satu lagi peluang keemasan wajar disambar mereka pada jendela antarabangsa bulan ini.

Momentum positif dicapai sebelum ini perlu diteruskan bagi memastikan skuad negara dapat terus memperbaiki ranking dalam kedudukan FIFA dan konsistensi ini tidak terhenti begitu sahaja.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe jelas berada pada laluan tepat untuk menambah sehingga 14.33 mata berharga menerusi dua siri perlawanan persahabatan dijadualkan.

Ujian pertama menanti Harimau Malaya adalah pertembungan sengit menentang gergasi Asia Timur, China yang kini menghuni kedudukan ke-96 dunia pada 14 November.