KANGAR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merealisasikan pelaburan berjumlah RM116.4 juta di Perlis setakat 30 September lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri itu.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pencapaian itu hasil kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perlis dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Beliau berkata, pencapaian berkenaan turut mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan untuk memperkukuh daya saing Perlis sebagai destinasi pelaburan berpotensi tinggi.
Menurutnya, NCER terus mempercepat transformasi ekonomi Perlis menerusi pelaksanaan projek pemangkin strategik yang meletakkan negeri itu sebagai hab logistik, agromakanan dan industri masa hadapan di wilayah utara.









