KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia digalak meneroka peluang kerjasama dalam sektor teknologi bernilai tinggi di China, khususnya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau, selaras dengan keutamaan pembangunan negara itu bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Kaunselor Menteri merangkap Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kedutaan Malaysia di Beijing, Niqman Rafaee M Sahar, berkata peluang berkenaan merangkumi penyumberan strategik, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi bagi menyokong peningkatan keupayaan industri Malaysia.
Beliau berkata, Rancangan Lima Tahun Ke-15 China membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan.








