KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Orkim Bhd, Orkim Marine Sdn Bhd telah memeterai dua kontrak pembinaan kapal dengan pembuat kapal China bernilai gabungan RM153.6 juta (250.6 juta yuan) untuk dua kapal tangki minyak.

Orkim melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, kontrak itu ditandatangani dengan Fujian Southeast Shipbuilding Co Ltd dan Fujian Mawei Shipbuilding Ltd pada 3 November 2026, meliputi reka bentuk, pembinaan, pentauliahan serta penghantaran kapal berkenaan.

Setiap kapal berharga RM76.8 juta (125.3 juta yuan) dan mempunyai berat mati 9,000 tan, dengan kapasiti kargo sebanyak 11,700 meter padu.

Kapal itu dijadualkan untuk penghantaran, masing-masing menjelang 31 Disember 2028 dan 31 Disember 2029, yang akan didaftarkan di bawah bendera Malaysia.