Tehran: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa dua kapal tangki minyak yang didakwa "melanggar peraturan" terbakar pada Selasa selepas terkena periuk api laut yang dipasang oleh pasukan tentera lautnya di Selat Hormuz.

Jurucakap Kementerian Luar Iran sekali gus menegaskan bahawa negara itu tidak akan membiarkan sebarang serangan terhadapnya tanpa tindak balas, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui saluran berita rasminya, Sepah News, IRGC berkata kapal-kapal tangki minyak itu cuba menyeberangi selat berkenaan melalui laluan haram di selatan laluan air itu sebelum terkena periuk api.

IRGC memberi amaran bahawa cubaan untuk melalui laluan yang dipasang periuk api di selat itu adalah haram dan hanya akan mengakibatkan kemusnahan aset pihak yang melanggar peraturan.