Jakarta: Bantahan pelajar universiti di Kalimantan Tengah, Indonesia, semakin memberi tekanan kepada kerajaan wilayah ketika kebakaran hutan memusnahkan kawasan di Kalimantan dan Sumatera, lapor The Straits Times.

Pada 19 Oktober, seorang penuntut wanita mengetuai bantahan di luar pejabat Gabenor Kalimantan Tengah, Agustiar Sabran, di Palangka Raya, sambil mendesak beliau mengambil langkah lebih tegas, termasuk menekan kerajaan pusat supaya mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional.

"Kami sudah banyak menderita selama lebih empat bulan," katanya di pintu pagar pejabat berkenaan.

Penuntut itu turut menyindir sepanduk bertulis 'Kalimantan Tengah Bebas Jerebu 2026. Mencegah kebakaran hutan bermula dengan kita', sambil menegaskan kerajaan wilayah dan kerajaan pusat sudah diberi amaran mengenai tahap keterukan fenomena El Niño tahun ini sejak Februari, tetapi gagal mengambil tindakan.