Kuala Lumpur : Industri perfileman Indonesia terus mewarnai panggung wayang tempatan negara menerusi naskhah seram berjudul Juminten Edan arahan Jonathan Ozoh dan Dedy Mercy.

Filem terbitan Mercusuar Film Indonesia ini tidak sekadar menjual elemen ketakutan yang dibuat-buat, sebaliknya mengetengahkan genre psikologi thriller yang sarat dengan konflik kekeluargaan serta trauma.

Jonathan berkata, jalan cerita filem ini berteraskan perjuangan seorang wanita bisu dan pekak bernama Juminten dalam mempertahankan rumah tangga serta anaknya daripada ancaman ibu mentua yang menggunakan amalan ilmu hitam.

"Kami mahu menonjolkan kekuatan seorang wanita di luar jangkaan. Tekanan dalam diri Juminten berlaku akibat perbuatan keluarga mentuanya sendiri, sekali gus mengajak penonton menilai siapakah sebenarnya watak yang 'edan' (gila) dalam penceritaan ini," katanya.