Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan seramai 77 orang kanak-kanak genius telah memasuki universiti pada awal usia atau berumur seawal 15 tahun dalam tempoh 10 tahun ini.
KPT berkata, mereka ini telah mendaftar ke peringkat prauniversiti, dengan peningkatan trend turut dapat dilihat dalam kalangan murid yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti pada usia lebih muda berbanding kebiasaan.
Menurutnya, murid berkeupayaan tinggi atau pintar cerdas diberi perhatian dan sokongan oleh kerajaan kerana mereka mempunyai keperluan pendidikan khusus dan memerlukan sokongan serta pendekatan pembelajaran bersesuaian bagi memastikan potensi mereka dapat dikembangkan secara optimum.








