PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berusaha meningkatkan jumlah wanita dalam barisan kepimpinan tertinggi universiti awam berikutan penyertaan golongan itu ketika ini masih sekitar 26 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, angka itu masih boleh dipertingkatkan memandangkan wanita mengisi 46 peratus jawatan kepimpinan pelapis di universiti awam.
Menurut beliau, negara mempunyai ramai wanita berbakat, berilmu dan berpotensi besar untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan lebih tinggi, justeru ruang serta peluang sewajarnya perlu diberikan kepada mereka.
Katanya, usaha memperkasa kepimpinan wanita bukan sekadar memenuhi kuota atau mengejar angka peratusan, sebaliknya perlu berasaskan merit, kemampuan serta peluang yang adil.









