Bintulu: Membesar dengan menyaksikan bapanya bergelut mencari rezeki di laut menjadi pembakar semangat kepada Anis Ayuni Sardini, 26, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perikanan sehingga berjaya menggenggam diploma di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Anak keempat daripada tujuh beradik yang berasal dari Kampung Bruit, Sarawak itu berkata, pengorbanan bapanya sebagai nelayan bukan sahaja menjadi inspirasi untuk berjaya, malah mendorongnya mendalami bidang yang menjadi sumber pendapatan keluarganya sejak kecil.
"Saya minat bidang perikanan sejak kecil apabila melihat ayah bekerja keras mencari rezeki di laut bagi menampung keperluan keluarga.
"Saya berharap suatu hari nanti dapat membanggakan ayah serta menggunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu komuniti nelayan seperti keluarga saya," katanya.









