Kuala Lumpur: Tiga Pengarah Rehla Travel Services Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines Berhad dan Hijrah Biru Sdn Bhd bagi menuntut pemulangan baki RM544,400 bayaran tiket penerbangan umrah yang didakwa masih belum dikembalikan.
Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, 46; Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi, 33, dan Wan Azizul Wan Yusoff, 61, sebagai plaintif menamakan Malaysia Airlines dan Hijrah Biru sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam saman itu, plaintif menuntut kedua defendan secara bersama atau berasingan membayar RM544,400, iaitu jumlah penalti Block Seat Charter (BSC) dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah mahkamah diberikan.
Mereka turut menuntut faedah lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan bermula dari tarikh perintah sehingga penyelesaian penuh.









