Kota Kinabalu: Atlet lontar peluru muda Sabah Earl Isaac Mitzler Fredolin yang merangkul emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, menyasarkan untuk layak beraksi di pentas Sukan SEA 2027.

Bagi merealisasikan impiannya, atlet berusia 18 tahun itu yang dibimbing jurulatih Suhaimin Kinso bertekad untuk mencatat lontaran melebihi 17 meter (m) secara konsisten sebagai penanda aras bagi memburu tempat ke temasya dwitahunan itu.

Sebelum ini, Earl Isaac melakar sejarah menjuarai acara lontar peluru lima tahun berturut-turut di pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), malah berjaya memecahkan rekod kejohanan menerusi lontaran 18.42 m pada edisi tahun ini.

Beliau turut menetapkan sasaran untuk memecahkan rekod SUKMA yang dipegang Jonah Chang Rigan dari Sarawak menerusi lontaran sejauh 17.66 m pada 2024.