Ayer Molek: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa mana-mana parti politik mempunyai hak untuk mengemukakan tawaran kepada pengundi menerusi manifesto pilihan raya.
Beliau berkata, BN dan rakan persefahaman mereka memilih untuk berpasak kepada realiti serta keperluan sebenar yang diperoleh terus daripada suara akar umbi.
"Saya pernah katakan, mana-mana parti berhak untuk mengemukakan impian mereka untuk dijadikan manifesto. Tapi kita menjadikan realiti daripada dapatan yang kita dapati dalam program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR), diterjemahkan untuk menjadi dasar.
"Dasar ini akan dibentangkan sebagai manifesto untuk ditelusuri sewaktu kita mengurus tadbir negeri. Jadi saya tak nak berbahas apa yang dia boleh buat mungkin dia boleh buat lebih baik daripada kita, tapi kita juga boleh buat yang terbaik untuk rakyat," katanya.









