Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkukuh perkhidmatan bergeraknya menerusi penambahan lima kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi memperluaskan capaian perkhidmatan dan memudahkan urusan pendeposit di seluruh negara.

Penambahan kenderaan menerusi inisiatif TH Gerak itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 37 kenderaan terdiri daripada 25 kenderaan pacuan empat roda, tujuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima SUV baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, penambahan kenderaan itu mencerminkan komitmen TH untuk mendekati masyarakat dan menyediakan perkhidmatan lebih mudah diakses serta memenuhi keperluan pendeposit.

Katanya, kepelbagaian jenis kenderaan itu juga membolehkan TH memperluas capaian perkhidmatan serta meningkatkan keupayaan operasi TH Gerak dalam memenuhi keperluan pendeposit di kawasan bandar dan luar bandar termasuk komuniti di kawasan pedalaman serta lokasi sukar diakses.