KUALA LUMPUR: GDB Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM877 juta untuk membina sebuah hab logistik utama di Seksyen 15, Shah Alam, sekali gus mencatat projek kemudahan logistik terbesar dalam sejarah kumpulan.

GDB dalam satu kenyataan berkata, anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), dilantik sebagai kontraktor utama bagi melaksanakan projek berkenaan.

Skop pembinaan merangkumi dua bangunan hab logistik lima tingkat yang dilengkapi pejabat mezanin bersepadu serta sebuah kafeteria khusus tiga tingkat bagi menyokong operasi rantaian bekalan berkapasiti tinggi.

Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada November 2026 dan disasarkan siap pada September 2029, membabitkan tempoh pelaksanaan selama 34 bulan.