Kuala Lumpur: Kerajaan kekal dengan komitmen bagi memperuntukkan hampir RM40 bilion subsidi bahan api di bawah Belanjawan 2027 supaya rakyat terus dilindungi daripada kenaikan harga bahan api global dan ketirisan akibat penyeludupan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menjelang tahun hadapan, masih belum ada kepastian bahawa konflik di Asia Barat akan mereda dan harga minyak kembali stabil.

"Justeru, kerajaan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berusaha sehabis mungkin bagi memastikan rakyat terus dilindungi," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, melalui Program Budi Madani, rakyat akan terus menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter pada harga RM1.99 seliter berbanding harga sebenar RM4.42 seliter, manakala bagi diesel bersubsidi sehingga 400 liter pada harga RM2.10, berbanding harga sebenar RM5.27 seliter.