TARAWA: Seramai lima individu termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terumbang-ambing selama tiga bulan di Lautan Pasifik apabila bot kecil yang dinaiki mereka dihanyutkan ribut dari laluan asal.

Kumpulan mangsa yang terselamat itu merupakan sebahagian daripada sembilan penumpang yang berlepas dari Pulau Murilo di Micronesia pada lewat Julai lalu untuk perjalanan singkat yang sepatutnya mengambil masa selama sejam ke Pulau Ruo.

Bagaimanapun, bot mereka dilanda ribut kencang yang menyebabkannya tersasar sejauh 5,471 kilometer menuju ke Pulau Fanning di Kiribati sebelum ditemui oleh penduduk tempatan tiga bulan kemudian.

Kesemua lima mangsa ditemui selamat pada Ahad dan kini berada di bawah jagaan pihak pengurusan sebuah gereja tempatan bagi pemantauan awal.