BACHOK: Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini diselubungi rasa sebak selepas dewan bertafakur seketika bagi menghormati pemergian ibu bapa graduan mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan di Gerik, Perak semalam.
Graduan dan ibu bapa serta warga UMK turut membacakan surah al-Fatihah bagi menghormati pemergian Abd Halim Bakar, 64, dan isteri Siti Sara Abd Rahman, 58, pada sidang ke empat Konvokesyen UMK yang sepatutnya menjadi pentas anak mereka, Husna Syakira Abd Halim menerima Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran).
Naib Canselor UMK, Datuk Prof Dr Arham Abdullah dalam ucapannya berkata di sebalik kegemilangan hari yang penuh makna meraikan anak-anak menamatkan pengajian, warga UMK diselubungi awan duka dengan kejadian yang memilukan itu.










