PETALING JAYA: Seruan memboikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan bukan sahaja tidak menyelesaikan punca pencemaran udara, malah berisiko menjejaskan kehidupan lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit sebagai punca masalah alam sekitar adalah tidak tepat kerana ia turut menghukum pengusaha, pekerja dan pekebun kecil yang mematuhi peraturan.

Katanya, walaupun keprihatinan masyarakat terhadap isu alam sekitar perlu dihargai, sebarang seruan awam perlu berlandaskan fakta serta pemahaman menyeluruh mengenai punca sebenar pencemaran.