KUALA LUMPUR: Langkah memboikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan berisiko menjejaskan 'periuk nasi' lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian negara.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit sebagai punca masalah alam sekitar adalah tidak adil kerana ia turut menghukum pengusaha yang mematuhi peraturan, pekerja serta pekebun kecil yang bergantung kepada komoditi itu sebagai sumber pendapatan utama.

Beliau berkata, isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani menerusi pengesanan punca kebakaran, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab bukannya kempen boikot yang tidak menyelesaikan punca sebenar pencemaran.