PETALING JAYA: Pelakon, Tony Eusoff, berharap masyarakat khususnya penganut agama Kristian agar berlapang dada dan menerima permohonan maaf pelakon Zahirah Macwilson susulan kenyataan kontroversi melibatkan kepercayaan agama, baru-baru ini.

Tony, 49, berpendapat bahawa sebagai manusia biasa, tiada individu yang terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara tersebut tidak sewajarnya diperbesarkan sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

“Sebagai seorang Kristian, pesan saya kepada rakan-rakan seagama, janganlah terlalu terkesan. Betul, dia mungkin terlanjur kata, tetapi tidak ada sesiapa yang terlepas daripada melakukan kesalahan.

“Hanya orang yang sudah mati sahaja tidak buat silap. Saya harap kita semua boleh move on. Kalau iman kita kuat, benda remeh seperti ini tidak sepatutnya memberi kesan mendalam kepada kita,” katanya menerusi satu hantaran video di aplikasi Threads.