SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memantau kemungkinan wujud individu lain yang terpengaruh dengan ritual bercanggah dengan ajaran Islam seperti diamalkan Aliff Daniel Adli.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, berkata pemantauan itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Akidah MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengesan sebarang fahaman atau kumpulan yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat memastikan sejauh mana Aliff Daniel mempunyai pengikut atau sama ada terdapat individu lain yang turut terpengaruh dengan amalan berkenaan.

"Andai kata ada kumpulan yang mengamalkan atau menganjurkan sesuatu fahaman berbeza daripada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah, kita akan terus mengambil tindakan," katanya.